Awie Lapor Polis Konsert Palsu Di Sabah

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita mempromosikan poster konsert Awie dan beberapa artis terkenal lain yang tidak wujud menerusi media sosial mengundang padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada Datuk Awie, 53, pada Selasa lalu.

Katanya, Awie sebelum itu dimaklumkan perkara itu oleh rakan artis ketika berada di rumahnya di Bukit Antarabangsa, di sini, mengenai hantaran di Facebook mempromosikan konsert yang dijangka berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari 2023.

“Suspek dikatakan menawarkan jualan tiket konsert berkenaan berharga antara RM199 sehingga RM649 setiap satu.

“Bagaimanapun, pengadu (Awie) menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Awie, poster itu juga menampilkan beberapa artis lain yang dikatakan membuat persembahan termasuk Ahmad Dhani, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang wanita berusia 48 tahun di Klang pada 10.40 malam Rabu lalu selepas dipercayai terbabit dengan penipuan itu untuk membantu siasatan.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes penipuan.

“Suspek direman selama tiga hari bermula semalam hingga 29 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Beliau memohon orang ramai yang sudah membeli tiket konsert itu supaya tampil untuk membuat laporan polis atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42952222 bagi membantu siasatan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *