Kerajaan Negeri Laksana Program Caruman KWSP Untuk Atlet Sabah Mulai 2023

Ketua Menteri Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Mulai tahun hadapan Kerajaan Sabah melalui Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan program caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk atlet Sabah yang aktif dan serius dalam arena sukan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor semasa majlis penyampaian insentif pemenang kepada atlet Sabah pada Khamis.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Ellron Angin.

“Mulai 2023, semua atlet yang mewakili Sabah ke Sukma dan Para Sukma akan menerima caruman bulanan KWSP RM50 yang dibiayai kerajaan negeri.

“Saya berharap ia menjadi tapak permulaan kepada atlet negeri untuk berlatih dengan lebih serius dan menjadikan sukan sebagai satu kerjaya yang boleh dibangunkan pada masa hadapan.

“Program ini juga akan memastikan kesinambungan caruman KWSP sebaik sahaja atlet kita melangkah ke alam pekerjaan,” katanya..

Hajiji juga berkata kerajaan Sabah akan terus menyediakan peruntukan yang besar dan konsisten untuk menggalakkan aktiviti sukan selain menyediakan infrastruktur dan kemudahan latihan moden.

“Selain kemudahan sukan di seluruh negeri, terdapat juga infrastruktur ‘Arena Belia’ untuk masyarakat setempat khususnya golongan muda untuk beriadah, bersukan dan aktiviti berkaitan.

“Kita percaya sukan bukan sahaja membantu membentuk jati diri dan disiplin yang tinggi dalam masyarakat, malah menyatupadukan rakyat dari segenap lapisan masyarakat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah insentif yang diberikan kepada atlet terbaik yang bertanding dan muncul juara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, Para Asean Solo 2022 dan Sukma 2022, serta jurulatih dan pengurus pasukan mereka, berjumlah RM481, 600.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *