GRS Wadah Sesuai Perjuang Hak, Kepentingan Sabah Di Dewan Rakyat – Ronald Kiandee

Naib Presiden Bersatu merangkap Ketua Bahagian Bersatu Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) bersama sebahagian ahli parti melaungkan kata-kata semangat selepas merasmikan mesyuarat Bersatu Bahagian Beluran.

BELURAN, 16 Okt : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan wadah paling sesuai bagi memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah di Dewan Rakyat, kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Katanya, GRS merupakan satu gabungan parti yang mempunyai arah tuju ditentukan melalui parti komponen dalam GRS.

“Berbeza semasa sebelum bergabung (GRS). Kali ini asas, dasar dan pendekatan GRS itu merupakan pendekatan yang terasnya adalah daripada pemimpin-pemimpin Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Beluran, di sini, hari ini.

Ronald, yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, diminta memberi pendapat mengenai kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, semalam mengenai keperluan ahli Parlimen dari Sabah supaya bersatu suara dan mempunyai hala tuju yang sama dalam melindungi hak, kepentingan dan kedaulatan negeri di Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu memberitahu kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 nanti akan memberi peluang yang lebih baik dan cerah kepada GRS untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beluran.

“GRS melalui Bersatu kini pada tahap paling siap siaga untuk berhadapan dengan PRU15 dan saya gembira dengan tahap kerjasama antara parti komponen GRS di Beluran,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kesahihan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, keluar Bersatu untuk menyertai Parti Warisan Sabah, Ronald berkata beliau sukar untuk memgesahkan, meskipun mengetahui dakwaan itu menerusi sebuah video yang disiarkan di media sosial.

“Saya tidak tahu sama ada benar cerita (dakwaan). Tetapi setiap kita ini ada pendirian masing-masing.

“Kalau benar berlaku, tentu sekali GRS  merupakan satu parti yang besar yang mampu untuk menangani masalah penghijaran saudara kita Wetrom,” katanya.

Semalam, sebuah video tular dalam media sosial yang memaparkan Wetrom mengumumkan bahawa beliau menyertai Warisan dan menjadi calon parti itu untuk kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU15.

Bagaimanapun ketika dihubungi media di Kota Marudu, Wetrom berkata beliau akan mengadakan sidang media pada Selasa atau Rabu ini berhubung perkara itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *