BN Labuan Mahu Kembalikan Kerusi Parlimen Labuan Ke Pangkuan UMNO

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Labuan merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan Senator Datuk Bashir Alias.

LABUAN, 16 Okt : Barisan Nasional (BN) Labuan akan melipatgandakan usaha memastikan kerusi Parlimen Labuan dapat dipertahankan dan kembali ke pangkuan UMNO pada  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Labuan Datuk Bashir Alias berkata kerusi Parlimen Labuan mula dimenangi oleh calon UMNO pada PRU8 tahun 1990 dan tidak pernah kalah sehingga PRU14. 

“Dengan kekuatan ahli UMNO hampir 10,000 kami akan memastikan kerusi Parlimen Labuan akan dipertahankan dan dikembalikan kepada UMNO.

“Pada dasarnya, UMNO Labuan telah diberi mandat untuk bertanding pada PRU15 untuk mengembalikan kerusi Parlimen ke pangkuan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labuan di Desa Tunas Hijau hari ini.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Labuan dimenangi Datuk Rozman Isli yang ketika itu bertanding atas tiket BN dengan majoriti mudah sebanyak 1,450 undi dalam persaingan empat penjuru.

Selepas itu, Rozman memilih menyertai Parti Warisan yang membentuk kerajaan Negeri Sabah Bersama komponen parti Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Bashir berkata PRU15 di Labuan kali ini akan melihat sekurang-kurangnya empat hingga lima calon yang akan bertanding daripada calon Parti Warisan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dari UMNO sendiri serta seorang calon Bebas.

“Sudah semestinya kita mahu persaingan sihat tanpa ada elemen fitnah yang membawa perpecahan pelbagai kaum dan demi pembangunan ekonomi Labuan.

“Bagi UMNO, kami telah bersedia dalam PRU15 dengan kekuatan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita, PRU15 kali ini amatlah penting bagi UMNO untuk menang dan mendapatkan semula semua kerusi yang kalah pada PRU14 lepas,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *