Warisan Boleh Kerjasama GPS Dapat Semula Hak MA63, Kata Naib Presiden

Junz Wong berkata Warisan mahu memastikan Sabah mendapatkan semula autonomi penuh ke atas pelantar benuanya.

KOTA KINABALU : Seorang pemimpin Warisan berkata, parti itu boleh bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperjuangkan hak bagi dua negeri Malaysia Timur itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Naib Presidennya, Junz Wong menggesa rakyat Sabah mengundi Warisan yang merupakan satu-satunya parti nasional berasaskan Sabah yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sabah tidak boleh ketinggalan akibat kurang pembangunan dan layanan tidak adil dari Semenanjung lagi.

“Warisan boleh bersama blok Sarawak yang kuat, GPS, untuk menyuarakan dan mendapatkan semula hak rakyat Sabah serta Sarawak,” katanya dalam kenyataan.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Wong berkata, Warisan akan terus memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63, khasnya mendapatkan semula autonomi penuh ke atas pelantar benua.

Katanya, ini akan memastikan rakyat Sabah boleh meraih manfaat ekonomi daripada sumber minyak dan gas yang banyak di negeri itu.

Akta Laut Wilayah diluluskan di Parlimen pada 2012, mengehadkan perairan wilayah Sabah dan Sarawak kepada tiga batu nautika dari pantai berbanding 12, seperti sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.

Pada asasnya, ini menafikan kedua-dua negeri itu meraih hasil daripada sumber yang diperolehi melebihi tiga batu nautika.

“Walaupun Sabah mengeluarkan jumlah tong minyak tertinggi sehari, iaitu 52% daripada minyak yang dijana di Malaysia, rakyat Sabah masih tidak dapat meraih manfaat ekonomi daripada pengeluaran minyak dan gas.

“Selain modal insan yang terhad dan penyediaan infrastruktur fizikal tidak mencukupi, isu hak negeri ke atas pelantar benua turut menghalang Sabah daripada meningkatkan ekonomi negeri melalui pengeluaran minyak dan gas.”

Wong berkata, Warisan akan berusaha menyelesaikan isu MA63 lain, termasuk berkaitan royalti minyak, pembayaran tunai petroleum serta galian minyak dan medan minyak.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *