PRU15: Rahman Dahlan Mahu Kembali Berkhidmat Untuk Pengundi Kota Belud

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KOTA KINABALU, 14 Okt : Bekas Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mahu kembali berkhidmat untuk pengundi kawasan itu kerana masih banyak pembangunan ingin dibawa untuk manfaat rakyat termasuk dalam aspek pendidikan, pertanian serta industri minyak dan gas.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mempertimbangkan hasratnya bertanding semula di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Abdul Rahman yang pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal sejak 2008, mengesahkan  namanya antara lima calon disenaraikan UMNO Bahagian Kota Belud untuk bertanding pada PRU15 bersama empat lagi nama pemimpin UMNO bahagian itu yang telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan.

“Saya masih ingin lagi berkhidmat di Kota Belud. Saya masih lagi banyak perancangan di Kota Belud. Tanda pagar saya ialah #sambungyangtergendala, dan kalau diberi peluang oleh parti, saya ingin kembali ke Kota Belud untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di sana.

Kalau kepimpinan parti memberi saya peluang, saya akan menggalas amanah itu dengan baik,” katanya, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu sesi 2022/2023 di sini, hari ini.

Sementara itu di SIPITANG, Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan seorang peguam Datuk Adnan Puteh sebagai calon parti berkenaan bagi kerusi Parlimen Sipitang pada PRU15.

 “Bukan senang hendak pujuk beliau (Adnan Puteh) untuk bertanding…saya mahu beliau menggunakan kelantangan beliau sebagai peguam di Dewan Rakyat kelak,” katanya ketika membuat pengumuman itu pada majlis jelajah Warisan di Sipitang hari ini.

  Sementara itu, Adnan yang merupakan Bendahari Warisan Bahagian Sipitang berkata peluang itu  akan gunakan sebaik-baiknya untuk membawa masyarakat di situ untuk mengamalkan cara berfikir baharu supaya kawasan berkenaan lebih membangun berbanding sebelum ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun 2018 calon Warisan di kerusi parlimen itu Noor Hayaty Mustapha tewas kepada calon Barisan Nasional Datuk Yamani Hafez Musa dengan majoriti 852 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon daripada Parti Harapan Rakyat Sabah Dayang Aezzy Liman.

Yamani Hafez yang juga Timbalan Menteri Kewangan II kemudian bertindak menyertai Bersatu pada September 2019. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *