Kota Belud Tidak Perlu Calon Luar, Kata Pandikar

Pandikar Amin Mulia, ketua penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kota Belud, berkata pencalonan bagi kawasan itu boleh dilaksanakan menerusi permuafakatan dan perbincangan sesama parti gabungan.

KOTA BELUD : Parlimen Kota Belud tidak memerlukan calon luar kerana masih ramai anak jatinya layak untuk diketengahkan, kata ketua penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kawasan itu, Pandikar Amin Mulia.

Beliau yang juga presiden Usno berkata, tidak perlu bagi pemimpin luar ‘mencalonkan diri’ memandangkan kawasan itu juga tidak ketandusan orang muda berpotensi untuk diangkat bertanding, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kota Belud itu sendiri sudah melahirkan ramai pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat dan usia. Sebagai ketua penyelaras GRS Parlimen Kota Belud, kita berpegang kepada amanat pucuk pimpinan (GRS) YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor dalam mengendali mahupun mentadbir kawasan Parlimen ini.

“Kita juga boleh mengajukan pandangan kepada YAB Datuk Seri kerana kita mengamalkan budaya muafakat dan akan bekerjasama sebagai sebuah parti gabungan,” katanya kepada SABAHitz On9TV.

Katanya, pencalonan bagi kawasan Kota Belud boleh dilaksanakan menerusi permuafakatan dan perbincangan sesama parti gabungan.

“Rasanya, tidak perlulah pemimpin dari luar mencalonkan diri kerana kita sudah ada pemimpin sendiri yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan usia.

“Kita tidak lagi ketandusan pemimpin sehingga perlu membawa masuk pemimpin dari luar daerah (bukan anak jati kelahiran Kota Belud) pada pilihan raya kali ini,” katanya yang juga bekas speaker Dewan Rakyat.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan mengesahkan namanya adalah antara lima calon disenaraikan Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kota Belud, menjelang PRU15.

Memetik laporan Berita Harian, katanya, beliau memang mahu kembali berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di Kota Belud untuk menyambung apa yang pernah dilakukannya ketika menyandang kerusi berkenaan, sebelum PRU14.

Pada PRU14, Abdul Rahman berkata, beliau diarah parti bertanding di Parlimen Sepanggar, namun tewas kepada calon Warisan, Azis Jamman.

Parlimen Kota Belud kini disandang Isnaraissah Munirah Majilis, dari Warisan, selepas menang dengan majoriti 4,262 undi, dalam persaingan empat penjuru. Isnaraissah menewaskan calon BN, Salleh Said Keruak, Ag Laiman Ikin (PAS) dan Miasin@Aimaduddin Mion (Parti Harapan Rakyat Sabah). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *