Hajiji Sah Tak Tanding PRU15

Hajiji Noor hadir merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Bersatu Tuaran di daerah berkenaan, hari ini. – Foto Facebook Hajiji Noor

TUARAN: Ketua Menteri Hajiji Noor, hari ini, mengesahkan yang beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, beliau tidak berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya kali ini walaupun ada permintaan supaya bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.

“Saya tidak berminat,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Bersatu Tuaran, di sini, hari ini.

Selain itu, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, GRS berkemungkinan besar akan meletakkan calon di kerusi Parlimen itu.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Bagaimanapun, katanya, ia akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat majlis tertinggi GRS malam ini sebelum dibawa dalam perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) selepas itu.

“Secara ‘bisik-bisik’ sebelum ini memang ‘okey’ tapi kita kena secara rasmi nanti. Biarlah rasmi apabila sampai masanya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai sama ada GRS akan bertembung dengan rakan parti lain yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap gabungan itu, Hajiji berkata ia tidak akan berlaku pada PRU15 nanti.

Katanya, parti terbabit sudah dianggap sebagai rakan bersekutu GRS yang mempunyai satu perjuangan bersama gabungan berkenaan.

“Tetapi kita akan bersama-sama mereka untuk memastikan GRS ini sebagai satu parti yang kuat,” katanya.

Antara rakan bersekutu GRS ialah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Komponen GRS pula terdiri daripada Bersatu, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Usno. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *