Warisan Tanding Kesemua 26 Kerusi Di Sabah & Labuan

Shafie Apdal barisan kepemimpinan Majlis Tertinggi Warisan di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) akan bertanding semua 26 kerusi Parlimen di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, calon yang ditampilkan merupakan gabungan muka baharu dan lama serta orang muda sebagai langkah meremajakan parti.

Dari segi peratusan gender pula, ia akan diputuskan kemudian kerana apa yang penting adalah calon yang dipilih boleh membawa kemenangan kepada parti pada PRU15.

“Penetapan gender ini memang penting tapi jangan hanya meletakkan calon mengikut gender tapi kalau tak menang, tidak ada gunanya.

“Maka, kita pilih calon bukan pada gendernya, orang muda atau orang lama kerana ini tentang pilihan raya, dalam pilihan raya kita memerlukan nombor (kerusi),” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) Warisan di Ibu Pejabat Warisan semalam.

Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, beliau menghormati sesiapa sahaja yang menawarkan diri untuk bertanding namun, senarai itu akan diputuskan kemudian.

Pada masa ini, senarai calon juga telah tersedia dan akan diumumkan apabila tiba pada masanya.

“Sudah tentu Presiden dan Timbalan Presiden akan bertanding dan saya sudah maklumkan dalam mesyuarat MT hari ini mana-mana ketua bahagian yang tidak menjadi calon supaya tidak memboikot parti.

“Kalau jadi calon Alhamdulillah, tunaikan tanggungjawab dan jangan merajuk. Ada ketua-ketua bahagian yang tidak jadi calon pun seperti Penampang, ketua bahagian tak pernah menjadi calon pasal Timbalan Presiden di situ,” katanya.Ads by Kiosked

Mengulas lanjut katanya, Warisan mahu mengubah semula pemikiran dan keadaan politik di Sabah. Itu sebabnya Warisan mahu bertanding 25 kerusi di Sabah kecuali ada sesuatu yang berlaku maka, mereka akan buat sedikit perubahan.

“Kita perlu ‘reset’ sebab kita tidak mahu nanti ada gabungan dengan parti itu dan ini kerana kita khuatir esok nanti Kuala Lumpur yang buat keputusan.

“Kita mahu memastikan Sabah berada pada landasan yang betul bagi memastikan hala tuju dan perjuangan kita terlaksana. Tidak mahu nanti ada tekan-tekan butang,” katanya.

Menguas lanjut katanya, Warisan juga akan bertanding di tujuh negeri di Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan, mungkin satu kerusi di Kelantan.

Jelas beliau, sistem negara perlu diubah semula bagi memastikan suara rakyat bukan hanya di Sabah tetapi juga di Sarawak dan Semenanjung akan didengari.  – UTUSAN

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *