Rundingan Agihan Kerusi GRS, BN Hampir Selesai, Kata Sumber

Sumber berkata, GRS mungkin bertanding di 13 kerusi Parlimen dan BN di 12 kerusi pada PRU15.

KOTA KINABALU: Rundingan agihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dipercayai hampir selesai, dengan kedua-dua gabungan itu dikatakan bakal bertanding jumlah kerusi yang hampir seimbang.

Sumber memberitahu, GRS dijangka bertanding di 13 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), manakala baki 12 kerusi akan ditandingi BN.

Bagaimanapun katanya, terdapat kerusi yang masih menjadi pertikaian antara dua gabungan berkenaan. iaitu Beluran yang disandang Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee.

“Ada yang mengatakan kerusi Beluran mungkin ‘free for all’ (bebas untuk ditandingi) sekiranya rundingan tidak mencapai kata sepakat menjelang PRU15,” katanya.-ADVERTISEMENT-https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.539.0_en.html#goog_311872495Ads by 

GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Hajiji Noor, terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Usno.

Sementara itu, BN Sabah yang dipengerusikan Bung Moktar Radin terdiri daripada Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

Sebelum ini, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gabungan itu akan bekerjasama dengan GRS di Sabah pada PRU15.

Semalam, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin juga memberikan “restunya” untuk Bersatu bekerjasama dengan Umno di Sabah.

Katanya, Bersatu di Sabah menjalin kerjasama dengan Umno sejak pilihan raya negeri (PRN) 2020 dan kerjasama itu boleh diteruskan pada PRU15.

Situasi berkenaan berbeza dengan Semenanjung, apabila Muhyiddin mengisytiharkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi GRS, Jeffrey Kitingan ketika dihubungi berkata, gabungan itu akan memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan mereka dalam mesyuarat malam esok.

Beliau berharap pengagihan kerusi dalam kalangan komponen GRS dapat diselesaikan dengan baik supaya mereka dapat memfokuskan usaha menghadapi PRU15.

Presiden STAR itu juga berkata, partinya menyasarkan bertanding di empat hingga lima kerusi pada PRU15. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *