PRU15: Selain Sabah Warisan Tanding Di Tujuh Negeri Lagi

 Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 12 Okt : Selain Sabah, parti Warisan juga akan bertanding bagi merebut beberapa kerusi Parlimen di tujuh negeri di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kerusi Parlimen di Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Perak yang berpotensi untuk ditandingi Warisan, namun jumlahnya masih belum dimuktamadkan.

Katanya Warisan telah mengenal pasti calon berpotensi yang mampu bertanding pada kerusi Parlimen berkenaan, dengan penampilan beberapa muka baharu, dan akan membuat pengumumannya dalam masa terdekat.

“Apa yang penting ialah calon yang bertanding boleh menang, tidak semestinya ketua bahagian yang akan bertanding (menjadi calon)… sekiranya tidak dicalonkan jangan boikot dan kecewa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata Warisan berkemungkinan besar akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu kerusi Parlimen di Labuan pada PRU15 ini.

Warisan mempunyai enam kerusi Parlimen di Sabah dan satu di Labuan sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Okt. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *