Kerjasama GRS-BN Di Sabah Luar Biasa, Istimewa, Kata Muhyiddin

KOTA KINABALU : Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kerjasama parti itu di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN) sebagai situasi yang istimewa.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, walaupun di peringkat Persekutuan mereka tidak sehaluan namun di peringkat Sabah ia berbeza kerana adanya persefahaman antara parti di negeri ini.

“Kita bincang tentang perkara ini dan Datuk Seri Hajiji Noor telah menjelaskan situasi agak luar biasa di Sabah, sebab itu kerajaan negeri pun terbentuk dengan adanya kerjasama dan persefahaman antara parti-parti walaupun di peringkat Persekutuan tidak sehaluan.

“Tetapi di sini keadaan agak luar biasa, keadaan istimewa, kita terima ada kelainan di Sabah mereka boleh bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan Bersatu Sabah, di Ibu Pejabat Bersatu di Alam Mesra pada malam Selasa.

Mengambil kira keadaan itu, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Hajiji sebagai Pengerusi GRS merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu untuk pembahagian kerusi.

“Soal pokoknya ini pilihan raya pusat atau di peringkat Parlimen, jadi saya telah bincang tadi saya serahkan kebijaksanaan Hajiji dan rakan-rakan GRS bagaimana terbentuknya pembahagian kerusi dan sebagainya, ini kerana saya faham situasi agak berbeza di sini.

“Saya beri buat apa-apa keputusan yang sesuai tapi yang penting ia beri keuntungan dan faedah kepada rakyat Sabah dan parti Bersatu, yang itu prinsip asas yang kita bincang tadi yang akan diberi pertimbangan utama.

“Apa saja keputusan dibuat keutamaan diberi Bersatu sebab Bersatu yang mengetuai kerajaan negeri dan ketuai GRS itu kunci kepada keputusan yang dibuat,” katanya.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi antara GRS-BN, Muhyiddin berkata, perkara itu belum lagi diputuskan dan memerlukan perbincangan.

“Ia belum lagi diputuskan kena bincang secara prinsipal dan perinciannya saya serahkan kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS untuk beliau putuskan,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *