Misi Sukar Sabah Berdepan JDT

KUANTAN : Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui tugas getir bakal dihadapi skuadnya untuk layak ke saingan Piala AFC musim depan.

Beliau berkata, pada masa sama, skuad itu akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan terakhir aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.

“Bagi saya satu lagi cabaran dan perlawanan yang cukup sengit bakal dihadapi apabila berdepan JDT kerana ia penentu sama ada layak ke saingan Piala AFC.

“Pasukan yang berada di kedudukan kedua, ketiga dan keempat mempunyai peluang untuk merebut tempat ke Piala AFC.

“Saya percaya penentuannya akan berlaku pada perlawanan terakhir dan sudah pasti kita berdepan cabaran apabila berdepan JDT serta bermain di tempat lawan.

“Namun, jika kita dapat sebarang mata di Johor nanti ia amat berharga buat Sabah,” kata bekas jurulatih Harimau Malaya.

Mengulas kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang, beliau berbangga dengan komitmen anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan.

Katanya, semangat juang terutama keyakinan tinggi memastikan hasrat mengutip tiga mata di tempat lawan tercapai.

“Saya akui pada awal permainan kita tidak melakukan banyak serangan terutama pada separuh masa pertama.

“Namun, menyedari kita perlu menang, pemain bangkit sebaik Sri Pahang menjaringkan gol pendahuluan.

“Sikap tidak berputus asa sebaik menjaringkan gol penyamaan dan disusuli gol kedua membantu mengutip tiga mata.

“Tidak mengaku kalah pada baki dua atau tiga minit berjaya memberikan kemenangan yang berharga,” katanya.

Pada perlawanan itu, Sabah bangkit daripada ketinggalan dengan menjaringkan dua gol hasil sentuhan Dominic Tan minit ke-89 dan disusuli Taesu Park pada masa kecederaan.

Gol tunggal tuan rumah pula dijaringkan penyerang import, Steven Rodriguez pada minit ke-85. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *