PRU-15 Boleh Diadakan Pertengahan November – UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim banjir atau musim tengkujuh.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun berkata, UMNO  menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU-15.

“UMNO menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO menghormati titah tuanku bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sebagaimana titah Seri Paduka, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.

Katanya, UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara.

“Malah, mengisytiharkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sebelum ini ditetapkan pada 23 hingga 26 November depan akan diubah ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Mesyuarat pada malam ini juga membincangkan beberapa isu berkaitan dengan gerak kerja dan persiapan jentera menghadapi PRU15 setelah Parlimen dengan rasminya dibubarkan.

“UMNO juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU15 ialah ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’. Tema ini telah digunakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.  Ia akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi BN,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *