GRS Akan Muktamad Agihan Kerusi Secepat Mungkin

Hajiji Noor berkata parti komponen GRS sebelum ini mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara berhubung PRU15, termasuk menggunakan lambang sama.

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponennya secepat mungkin susulan pengumuman pembubaran Parlimen.

Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi tujuan itu.

Beliau berkata, parti komponen GRS sebelum ini mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara berhubung pilihan raya umum ke-15 (PRU15), termasuk menggunakan lambang sama.

“Jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan Parlimen sudah sedia untuk diaktifkan dan semua parti komponen juga sudah membuat persiapan masing-masing atas semangat GRS,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh untuk penamaan calon, hari mengundi serta urusan berkaitan.

Hajiji berkata, tiada keperluan membubarkan Dewan Undangan Negeri ketika ini kerana ia masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempohnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam diarahkan turun padang bagi menangani dan menilai kerosakan akibat banjir di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dan daerah berhampiran semalam.

Beliau juga mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi cuaca buruk yang mungkin menyebabkan banjir dan orang ramai diingatkan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *