Muhyiddin Kembali Jadi PM Jika PN Menang PRU-15

TEMERLOH : Perikatan Nasional (PN) sekali lagi mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi PN Datuk Dr Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, tiga parti komponen termasuk Bersatu dan Pas sepakat terhadap ketetapan memilih Pengerusi PN itu sebagai Perdana Menteri selain bersedia melancarkan perang di medan PRU-15.

“Kita menang PRU-15 dan sediakan kerajaan melalui mandat yang diberikan rakyat dan untuk rakyat….kita akan angkat Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Pahang di Kompleks Al-Makmur di Kerdau, malam tadi.

Majlis itu dilancarkan oleh Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, Muhyiddin berkhidmat sebagai Perdana Menteri ke-lapan dari 1 Mac 2020 sebelum meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021.

Beliau melepaskan jawatan itu selepas gagal mendapatkan sokongan majoriti apabila 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka terhadap PN.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya pula berkata, PN akan memuktamadkan rundingan membabitkan agihan 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) antara parti komponen di Pahang, dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, agihan kerusi perlu diselesaikan secepat mungkin berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual akan mengumumkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan tarikh pengundian tidak lama lagi.

“Parlimen sudah dibubarkan dan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Mungkin dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, SPR akan mengumumkan tarikh penting jadi rundingan kerusi perlu diselesaikan segera.

“Apabila semua bersetuju (semua parti komponen), kami di pucuk pimpinan pusat boleh mengesahkan senarai calon bagi mereka yang bertanding di kerusi Parlimen dan DUN. Saya dimaklumkan bahawa rundingan untuk kerusi Parlimen sudah selesai,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, semua parti komponen PN akan bekerja dan bertanding di bawah satu bendera.

“PN akan menubuhkan jentera pilihan raya untuk beroperasi sebagai satu pasukan di bawah satu pusat, sekali gus tidak perlu ada pusat berasingan.

“Kemenangan untuk Pas (di Parlimen atau DUN) bermakna kemenangan untuk rakan parti dalam PN juga, ia sekali gus bagi memastikan semua parti bekerja keras,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *