Semak Keputusan Mahkamah Sesyen Zizie Mohon Kes Didengar Bersama Permohonan Bung

Pada 2 Sept mahkamah memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

KUALA LUMPUR: Zizie Izette Abdul Samad memohon supaya notis usul difailkannya bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen, yang memerintahkan pelakon itu membela diri atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta, didengar bersama permohonan suaminya, Bung Moktar Radin, di hadapan hakim sama di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, berkata pihaknya memohon agar permohonan Zizie Izette dipindahkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid, ketika sebutan kes itu, hari ini.

Azhar kemudian menetapkan 17 Okt untuk mendengar permohonan berkenaan.

Sepatutnya, kes Zizie Izette didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, manakala kes Bung di hadapan Azhar.-ADVERTISEMENT-https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.533.0_en.html#goog_917967953https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.533.0_en.html#goog_917967955https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.533.0_en.html#goog_917967957Ads by 

Pada 23 Sept, Sequerah membenarkan permohonan Bung, 64, dan Zizie Izette, 44, untuk menangguhkan perbicaraan mereka di mahkamah sesyen, selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula dan mengetepikan keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Sesyen, pada 2 Sept.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya selaku pemohon, memfailkan permohonan semakan secara berasingan pada 19 Sept, antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di mahkamah sesyen, yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang disampaikan Mahkamah Sesyen.

Kedua-dua pemohon berkata, hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Rozina Ayob menetapkan 17 Okt untuk sebutan bagi pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status perkembangan permohonan pasangan suami isteri itu.

“Tarikh bicara (bela diri) yang dijadualkan pada 14 Okt ini dilapangkan, manakala tarikh-tarikh perbicaraan pada 28 Okt, 21 dan 31 Nov, 1 dan 7 Dis, 3 Jan dan 9 hingga 13 Jan 2023 dikekalkan,” kata hakim itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah, supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan sementara permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 2 Sept, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pasangan itu sepatutnya membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad bermula 23 Sept.

Pada 3 Mei 2019, Bung didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati, di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga, didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *