AirAsia Tawar Tempat Duduk Berharga RM13

AirAsia sekali lagi dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia

SEPANG: AirAsia melancarkan jualan tempat duduk daripada RM13 sejajar dengan pencapaiannya sebagai peneraju tambang rendah global, apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-13 berturut-turut.

Jualan yang dilancarkan hari ini berlangsung sehingga 2 Oktober 2022 dan merangkumi pasaran utama antara lain termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Laluan jarak jauh seperti dari Kuala Lumpur dan Bangkok ke Australia (Melbourne, Perth, Sydney), New Zealand (Auckland), Korea Selatan (Seoul), Timur Tengah (Jeddah) dan India (New Delhi) juga tersedia dengan tambang termasuk semua bermula daripada RM459 untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,219 untuk Premium Flatbed.

Sempena pengumuman kelonggaran sekatan perjalanan ke Jepun mulai bulan depan, AirAsia X juga mengumumkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Tokyo (Haneda) dan Sapporo, manakala Thai AirAsia telah mengumumkan laluan baharu dari Bangkok ke Fukuoka yang kini tersedia untuk tempahan bagi tempoh perjalanan bermula bulan November daripada RM599 untuk tempat duduk ekonomi atau RM2,599 untuk Premium Flatbed.

Laluan terus baharu yang menghubungkan Pulau Pinang ke Bali buat kali pertama juga termasuk dalam jualan ini dengan tambang daripada RM159.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Karen Chan berkata syarikat berbesar hati untuk meraikan pelbagai kemenangan pada bulan ini termasuk jualan pecah rekod pasca pandemik pada minggu lalu, dan kini sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia sebanyak 13 kali berturut-turut.

“AirAsia ialah syarikat penerbangan untuk semua dan kami berbangga kerana memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia pilihan oleh tetamu.

“Sebagai ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada jutaan tetamu yang memilih untuk terbang bersama kami pada setiap tahun dan kepada mereka yang mengundi, kami ingin menawarkan jualan istimewa ini dengan tambang bermula daripada RM13, atau RM1 bagi setiap tahun kemenangan.

“Kami telah menerbangkan lebih 700 juta tetamu. Kini, kami kembali terbang tinggi dan berharap akan terus mengubah kehidupan jutaan tetamu pada tahun-tahun akan datang, sama seperti yang telah kami lakukan selama hampir 21 tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai anugerah penanda aras global bagi kecemerlangan syarikat penerbangan, Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2022 menerima undian daripada 14.3 juta pelanggan yang terdiri daripada lebih 100 warganegara yang mengundi lebih 300 syarikat penerbangan dari September 2021 hingga Ogos 2022. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *