Bekas Ketua Cabang PKR Tawau Sertai Warisan

TAWAU: Bekas Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), Datuk Kong Hong Ming menyertai Parti Warisan (Warisan) hari ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, penyertaan bekas pemimpin kanan BN suatu ketika dahulu itu akan membantu memperkukuh dan memperkuatkan lagi perjuangan Warisan, bukan hanya di Tawau tetapi juga di Sabah.

Beliau berkata, sebagai seorang ahli politik veteran yang berasal dari Tawau, bekas pemimpin BN itu seorang yang akan menyumbang kepada perjuangan parti kerana pengalamannya dalam bidang politik dan latar belakang guamannya.

Katanya, beliau percaya Hong Ming mempunyai keupayaan tersendiri untuk membantu memperkuatkan kedudukan Warisan.

Sementara itu, bekas Ketua Cabang PKR Tawau itu berkata, sebagai seorang ahli politik veteran, beliau memutuskan untuk menyertai Warisan sebagai landasan politik untuk meneruskan perjuangan politiknya.

“Saya bukan orang baharu dalam politik. Tiba masa untuk saya menyertai parti politik berasal dari Sabah iaitu sebuah parti yang berbilang kaum yang memperjuangkan hak-hak orang Sabah dan Malaysia,” katanya.

Dalam majlis berasingan di Kalabakan, Ketua Amanah Kalabakan, Arbaani Akum turut menyerahkan borang menyertai Warisan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *