SULAWESI : Penduduk kampung dikejutkan dengan kejadian bunuh diri melibatkan seorang perempuan dan dua orang anaknya di Kecamatan Tiroang, Kabupaten Pinrang, Indonesia baru-baru ini.
Difahamkan, wanita tersebut yang bertindak membunuh diri terlebih dahulu telah meracuni dua orang anak lelakinya sehingga mati dan puncanya masih dalam siasatan.
Kejadian itu yang disedari jiran tetangga menyebabkan orang ramai bertindak memecahkan pintu rumah apabila beberapa kali panggilan mereka tidak disahut.
Sebaik pintu dirobohkan, orang ramai terkejut apabila dua orang kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mati dalam keadaan berselimut di bilik tidur mereka.
Suami mangsa dilaporkan merupakan ahli keluarga pertama yang menyedari kematian itu ketika pulang untuk mengambil isterinya.
Kedua-dua anaknya ditemui mati dalam berpakaian seragam sekolah di dalam bilik tidur manakala isterinya pula dilihat tergantung tidak jauh dari lokasi yang sama.
Salah seorang penduduk, Ansar Maramat berkata, kanak-kanak itu disyaki mati akibat diracun.
“Buat masa ini, mereka disyaki mati selepas diberi minuman oleh ibunya yang mengandungi racun.
“Ketika ditemui, dua kanak-kanak itu sedang berbaring di atas permaidani lengkap dengan bantal dan kain sarung yang menutupi tubuh dua beranak itu.
“Di sebelah mereka, terdapat botol minuman dan gelas berisi air perang yang kelihatan seperti racun,” dakwanya.
Hasil bedah siasat pihak hospital, doktor, Nirmala mengesahkan mangsa itu telah diberikan minuman beracun manakala kesan tali jerut pula ditemui pada leher ibunya.
“Tiada sebarang kesan keganasan ditemui pada mayat, dua beranak itu diberikan racun dan ibunya ditemui dengan kesan tali di leher,” jelasnya.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan keluarga ini menghadapi kesukaran hidup sehingga dibebani hutang menyebabkan si ibu sanggup bertindak sedemikian. – Agensi
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost