Lelaki Hilang Selepas Disyaki Cuba Bunuh Diri Di Manggatal

Bomba menemui kain tergantung pada kipas di sebuah rumah di Jalan Sulaman.

KOTA KINABALU : Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas disyaki cuba membunuh diri di sebuah rumah di Jalan Sulaman, Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit dikatakan sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berserta gambar kepada tunangnya.

Panik dengan situasi berkenaan, tunangnya terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit menunjukkan gambar sehelai kain sarung yang diikat pada kipas siling rumah kepada tunangnya.

Katanya, wanita itu menerima beberapa lagi SMS yang memberikan bayangan seolah-olah mahu membunuh diri.

“Dia terus menghubungi bomba untuk meminta bantuan dan sebaik tiba, lelaki terbabit tiada di rumah berkenaan.

“Pihak bomba bagaimanapun menemui nota dan kain sarung yang terikat di kipas siling rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, wanita itu kemudiannya membuat laporan susulan bagi meminta polis menjejaki tunangnya itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *