SUKMA : Sabah Rampas Semula Emas Beregu Wanita

Pemain sepak takraw Sabah (dari kiri) Nadillatul Rosmahani Saidin, Siti Hadinavilla Jumidil dan Nazira Hani Iskandar@ Jali bergambar bersama pingat Emas yang diraih dalam acara Beregu Wanita Akhir menentang pasukan Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 di Dewan Sri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional hari ini. Pasukan Sabah menewaskan Sarawak dengan mata 21-12 dan 21-13.

KUALA LUMPUR : Gandingan Siti Hadinavilla Jumidil dan Nazira Hani Iskandar @Jali, ternyata unggul apabila berjaya merampas kembali pingat emas acara beregu sepak takraw  wanita Sukan Malaysia (Sukma) bagi Sabah, selepas penantian selama enam tahun. 

Gandingan dua atlet muda yang masing-masing berusia 22 tahun dan 16 tahun itu, berjaya menidakkan cabaran regu Sarawak, Sharifah Fifi Nurdyana Wan Muhamat Abdul Rah dan Nur Asmida Rambli menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-13. 

Kemenangan berkenaan menyaksikan pasangan Bumi Kenyalang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala pasangan Perak Nur Syahirah Hisaam dan Nur Athirah Roslan membawa pulang pingat gangsa. 

Bercakap kepada pemberita selepas mengulangi kemenangan Sabah pada Sukma 2016, Nazira Hani berkata segala kerja keras pasukan berbaloi semenjak mula melakukan latihan empat tahun lepas dengan hasil lumayan hari ini. 

“Penantian untuk bermain di Sukma akhirnya berakhir dengan kegembiraan. Perjalanan ini bukanlah mudah sebab saya masih belajar, jadi mesti seimbangkan antara sukan dan pelajaran. 

Saya berlatih seawal 5.30 pagi sebelum bersiap ke SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan Likas, Kota Kinabalu pada 6 pagi dan kembali menjalani latihan intensif pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini hari ini. 

Pemain sepak takraw dari Sabah Nazira Hani Iskandar@Jali (kiri) ketika beraksi dalam acara Beregu Wanita Akhir menentang pasukan Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Dewan Sri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional hari ini.

Untuk rekod, regu wanita Sabah hanya memenangi perak pada Sukma 2018 dalam acara sama. 

Sementara itu, regu lelaki Terengganu dianggotai Muhammad Aidil Haikal Ghani dan Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi berjaya membawa pulang pingat emas apabila mengalahkan pasangan Perlis Wan Norhanif Rosdi- Muhammad Shahalril Aiman Halim, 2-1 dalam acara yang sama. 

Mengulas mengenai kemenangan berkenaan, ketua pasukan Muhammad Aidil berkata, turun sebagai pasukan bukan pilihan bukanlah mudah tetapi hasil kerjasama antara beliau dan rakan regunya berhasil membutirkan pingat emas buat negeri Pantai Timur itu. 

“Latihan sejak empat lalu memang berbaloi dan masa COVID19 ada menjalani latihan secara dalam talian untuk sentiasa kekal bersedia ke Sukma,” katanya. 

Kejuaraan itu menyaksikan gandingan Perlis Wan Norhanif dan Muhammad Shahalril Aiman  membawa pulang pingat perak dan pasangan Johor Muhammad Haikal Huzaimi Abdul Razak dan Muhammad Syahmi Syazwan Aziz meraih pingat gangsa.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *