Hanya GRS Mampu Ubah Nasib Rakyat, Hajiji Beritahu Pengundi Lahad Datu

Hajiji Noor (tengah) bersama pemimpin serta ahli-ahli GRS pada majlis pelancaran program jelajah gabungan itu di Lahad Datu, hari ini.

LAHAD DATU : Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor menyeru pengundi di Lahad Datu supaya memberi kemenangan kepada gabungan berkenaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang kerana pembangkang tidak mampu mengubah nasib mereka.

Katanya, hanya wakil rakyat daripada kerajaan saja yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan lebih pesat kepada Lahad Datu yang kini ‘dipegang’ pembangkang.

“Selain kerusi parlimen, kita juga perlu memastikan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Lahad Datu yang kini dipegang oleh parti pembangkang juga dimenangi oleh GRS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Tidak ada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang, kerana mereka tidak dapat mengubah nasib rakyat.-ADVERTISEMENT-Ads by 

“Rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan bijak membuat pilihan pada PRU akan datang kerana hakikatnya, hanya wakil rakyat kerajaan dapat membawa pembangunan dan kemajuan lebih pesat di Lahad Datu”, katanya ketika berucap sempena program jelajah GRS peringkat Parlimen Lahad Datu, di Dewan Sri Perdana, di Lahad Datu, hari ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga ketua menteri sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa GRS bersedia menerima parti-parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu.

Beliau juga berharap, kerjasama GRS dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 akan menjadi kenyataan demi kepentingan negeri berkenaan.

“Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati dalam GRS, saya mahu mendengar daripada pemimpin Umno dan BN yang mereka nyatakan bahawa mahu bekerjasama untuk kepentingan Sabah,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berkata, seramai lebih 4,000 orang menghadiri program jelajah GRS yang berlangsung di Lahad Datu, hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee, Presiden Usno, Pandikar Amin Mulia, Timbalan Presiden PBS, Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Robert Tawik. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *