PRU15 : Warisan Mahu Tanding 4 Kerusi Parlimen, 20 DUN Di Negeri Sembilan

Warisan Negeri Sembilan kini mempunyai 2,000 ahli membabitkan kira-kira 25 cawangan.

KUALA LUMPUR : Warisan berhasrat untuk bertanding di empat kerusi Parlimen dan sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Warisan Negeri Sembilan, Azman Idris berkata, keyakinan untuk bertanding di negeri itu adalah bersandarkan faktor pengundi atas pagar yang dilihat ramai dan parti itu mahu mengambil kesempatan untuk menarik sokongan kumpulan berkenaan.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti kerusi yang berpotensi sebelum ia dibawa ke peringkat majlis tertinggi parti untuk dibincang dan diputuskan.

“Warisan memang akan bertanding (di Negeri Sembilan) dan sekarang dalam kajian dan pemantauan, lihat mana-mana kerusi yang sesuai. Berapa (jumlah) bagaimanapun akan diputuskan oleh majlis tertinggi parti.

“Kami parti untuk semua rakyat, kami fokus kepada tempat yang kami boleh bertanding dan kerusi yang kami lihat rakyat memerlukan khidmat kami. Rakyat akan ada banyak pilihan dan kami salah satu sebagai pilihan mereka,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sementara itu Azman berkata, keahlian Warisan di Negeri Sembilan kini berjumlah hampir 2,000 melibatkan kira-kira 25 cawangan.

“Warisan sudah lebih setahun digerakkan di negeri ini dan alhamdulillah sambutan yang diterima menggalakkan daripada orang ramai kerana kami merupakan sebuah parti yang memberi khidmat kepada rakyat.

“Saya berpandangan, Warisan boleh pergi jauh di Negeri Sembilan, ramai pengundi sekarang berada di atas pagar dan kami akan mengambil kesempatan untuk menarik (sokongan) mereka ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa presiden parti itu Shafie Apdal dijadual hadir merasmikan pejabat perhubungan Warisan Negeri Sembilan di Seremban pada 19 Jun. – FMT

Perbicaraan disambung di hadapan hakim Yazid Mustafa pada 26 Julai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *