5 Selamat, Ambulans Langgar Kawanan Lembu Di Kota Belud

Ambulans yang rosak di bahagian hadapan selepas terlanggar kawanan lembu. – Foto Facebook

KOTA BELUD: Lima individu berdepan detik cemas apabila ambulans yang dinaiki merempuh kawanan lembu di Jalan Kota Belud – Kota Marudu, di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, semua individu terbabit iaitu doktor, jururawat, pemandu, pesakit dan keluarga pesakit terselamat.

Foto Facebook

Bagaimanapun, empat lembu mati akibat pelanggaran itu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan mendapati ambulans milik Hospital Kudat sedang dalam tugas rasmi membawa pesakit ke hospital di Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba kawanan lembu berlari dan melintas dari arah kanan ke kiri jalan.

“Disebabkan jarak yang sudah terlalu dekat, pemandu ambulans tidak dapat mengelak lalu melanggar lembu berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian itu empat lembu mati dan sehingga kini belum ada individu yang mengaku sebagai pemilik haiwan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *