17.5 Tan Minyak Masak Bersubsidi Cuba Diseleweng

Anggota KPDNHEP Sandakan memeriksa lori yang diubahsuai untuk menyembunyikan minyak masak subsidi dalam sebuah tangki. – Foto KPDNHEP

SANDAKAN: Sebanyak 17.5 tan metrik minyak masak bersubsidi dan peralatan digunakan untuk menyeleweng dianggarkan bernilai RM98,750 berjaya dirampas dalam serbuan dilakukan di sebuah rumah sewa di Batu Sembilan, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan jam 4.30 petang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan juga berjaya menahan seorang lelaki yang juga ahli kumpulan sindiket terbabit.

Foto KPDNHEP

Ketua Pegawai KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, sebelum serbuan dijalankan pihaknya mendapati terdapat sekumpulan individu sedang sibuk memotong plastik minyak masak bersubsidi dalam pek satu kilogram.

“Sebaik serbuan dilakukan, beberapa individu dilihat lari bertempiaran dan hanya seorang lelaki berusia 39 tahun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi itu kemudian menemukan 17.5 tan metrik minyak masak bersama pelbagai peralatan menyeleweng minyak masak,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Azdy berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi digunakan suspek ialah dengan mendapatkan bekalan minyak masak dalam pek bersubsidi lalu diisi dalam tangki minyak.

“Minyak masak itu kemudiannya dimasukkan ke dalam tangki di belakang sebuah lori yang sudah diubah suai. Ia kemudian dihantar kepada pihak pengguna industri ataupun diseludup ke negara jiran susulan harga tinggi,” katanya.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Akta Bekalan 1961. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *