Desa Dairy Farm Kundasang Nafi Hanya Pentingkan Untung, Sebabkan Kesesakan Trafik

KOTA KINABALU : Ladang Tenusu Desa menafikan dakwaan bahawa syarikat itu hanya mengutamakan kutipan jualan tiket dan mengabaikan keselesaan pelawat, selain menjadi penyebab kesesakan trafik di kawasan pelancongan Kundasang, Ranau.

Dakwaan tersebut dipaparkan pada kain rentang yang diletakkan di hadapan pintu masuk ladang tersebut dan turut tular di media sosial.

Pengurus Agro Pelancongannya Mohd Farid Mohd Zaini berkata kenyataan itu tidak bertanggungjawab, malah memburukkan nama baik syarikat itu tanpa mengambil kira sumbangan mereka ke atas pertumbuhan ekonomi setempat.

“Pihak kami amat kesal terdapat kain rentang yang diletakkan di hadapan pintu masuk tanpa kebenaran pada 31 Mei lepas yang membuat tuduhan liar terhadap pihak pengurusan Ladang Tenusu Desa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Farid berkata sistem pembelian tiket dalam talian yang efisien telah dibangunkan bagi mengatasi isu yang dibangkitkan dan telah memberi kesan yang amat positif sejak premis itu dibuka semula pada 12 Dis 2021. 

Namun, beliau menjelaskan peningkatan jumlah pengunjung yang datang secara jumpa terus terutama dari tempat yang jauh seperti Pitas dan Pantai Timur, telah menyebabkan keberkesanan keseluruhan sistem itu terjejas pada waktu kemuncak.

“Sehubungan itu, pihak kami telah mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut. 

“Dengan ini pihak kami mengalu-alukan sebarang maklum balas yang ikhlas dan bertanggungjawab daripada para pelanggan yang dihormati dalam usaha untuk kami menyediakan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga amat menggalakkan para pelawat yang datang untuk membuat pembelian tiket secara dalam talian. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *