Polis Rampas 7 Kilogram Syabu Di Tawau

Gambar Polis Tawau

TAWAU, 31 Mei : Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas tujuh kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM258,948 dalam dua serbuan di sini pada Rabu lepas (25 Mei).

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Husin berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah premis di Jalan Stephen Tan pada 2.10 petang sementara dua bungkusan plastik berisi syabu itu disembunyikan di dalam alat pembesar suara.

Syabu yang dirampas. – Foto Polis Tawau

“Suspek yang juga penganggur dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk soal siasat dan hasilnya membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Batu 3 Jalan Apas pada 3.40 petang hari yang sama.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan lima bungkusan sama yang berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah Syabu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Jasmin dadah itu dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui perkhidmatan kurier untuk pasaran tempatan dan suspek dipercayai terlibat dengan satu sindiket dadah.

Suspek kini direman sehingga 1 Jun depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *