ADUN Kukusan Umum Keluar Warisan

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal hari ini mengumumkan keluar daripada Warisan bagi menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Dalam satu sidang media hari ini beliau mengumumkan keputusan meletak semua jawatan dalam parti berkuat kuasa serta-merta.

“Dengan berat hati, saya mengumumkan keluar daripada parti Warisan berkuat kuasa hari ini selepas lebih lima tahun berjuang di dalamnya bermula daripada akar umbi sehingga ke peringkat DUN.

“Saya juga mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Naib Ketua Wirawati Sabah dan Ketua Wirawati Kalabakan berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mengumumkan untuk menyertai PHRS berkuat kuasa hari ini bagi bersama-sama kepimpinan PHRS di bawah pimpinan Presiden, Tan Sri Liew Yun Fah untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

Pada 18 Oktober tahun lalu, Rina menafikan keluar daripada Warisan setelah khabar angin menyatakan nama beliau antara yang disebut-sebut keluar daripada Warisan pada masa itu.

Sebelum ini, lima wakil rakyat Warisan telah bertindak keluar parti iaitu Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik) Datuk Dr. Yusof Yaacob (Sindumin), Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi, Datuk Peter Anthony (Melalap) dan Datuk Nuil Juatim (Limbahau). – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *