Belia Menganggur Di Sabah Boleh Cecah 250,000 Menjelang 2024, Kata Persatuan

Persatuan Pusat Latihan Kemahiran, Sistem Latihan Dual Nasional Sabah dan Labuan menganggarkan separuh daripada lepasan SPM di Sabah datang daripada keluarga B40 dan tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran. – Foto Hiasan

KOTA KINABALU : Bilangan belia yang menganggur di Sabah boleh mencecah suku juta orang menjelang 2024, menurut Persatuan Pusat Latihan Kemahiran, Sistem Latihan Dual Nasional Sabah dan Labuan.

Presidennya, Nelson Mosinoh berkata, kadar pengangguran belia di Sabah adalah yang tertinggi di negara ini pada suku pertama 2022, iaitu 9.1% atau 190,000 orang.

Sebaliknya, kadar pengangguran belia di negeri jiran, Sarawak hanya 3.2% dalam tempoh sama, dengan purata nasional pada 3.1%.

Daripada 40,000 pelajar di Sabah yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun, Nelson menganggarkan separuh daripada mereka datang daripada keluarga B40 dan tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

“Jika dikira 20,000 lepasan SPM yang rentan (setiap tahun) dari 2021 hingga 2023, sejumlah 60,000 belia berpotensi menganggur,” katanya dalam kenyataan dipetik Daily Express.

“Tambahkan jumlah ini kepada statistik semasa 190,000 belia menganggur, dengan mudah ia boleh mencecah paras 250,000 menjelang 2024.”

Nelson berkata, gaji minimum RM1,500 boleh menghalang usaha mengurangkan kadar pengangguran kerana majikan mungkin menghentikan sementara pengambilan pekerja dan rancangan pengembangan.

Bagi mengatasinya, beliau mencadangkan kerajaan negeri menaja program latihan kemahiran untuk belia B40 serta menggalakkan mereka bekerja dalam industri perladangan.

“Sebagai permulaan, kita harus berhenti melabelkan pekerjaan perladangan sebagai 3D (kotor, berbahaya dan sukar), tetapi berikan ia imej yang segar dan profesional. Tiada siapa suka bekerja dalam profesion yang merendahkan maruah,” katanya.

Bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan pekerjaan, katanya, golongan belia boleh bekerja mengikut syif 14 hari dan gaji mereka dibayar pada hari ke-14 dan memberi mereka peluang untuk pulang ke rumah bagi baki bulan itu.

Menyediakan pilihan sedemikian boleh memberi kesan psikologi positif kepada belia kerana mereka tidak akan “terjebak bekerja dalam hutan sepanjang hayat”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *