Pulang Ke Pangkuan UMNO Langkah Penting Bagi Bersatu Sabah, Kata Penganalisis

Ronald Kiandee (kiri) dan Hajiji Noor adalah antara bekas pemimpin Umno Sabah yang beralih kepada Bersatu. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU : Pemimpin Bersatu Sabah harus mempertimbangkan untuk kembali kepada Umno atau berisiko dimusnahkan oleh kebangkitan Umno, kata seorang penganalisis politik.

“Permainan telah berubah secara drastik. Ketika Bersatu Sabah berkuasa, Muhyiddin Yassin adalah perdana menteri,” kata felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir.

“Kini, Bersatu sangat lemah. Mereka tiada akar umbi mahupun jentera yang kuat dan mempunyai sangat sedikit ahli sedangkan Umno mendapat sokongan majoriti orang Melayu,” katanya mengulas mengenai prospek Bersatu di Sabah.

Dengan Muhyiddin tidak lagi berkuasa, pengaruh Bersatu sangat lemah di negeri itu dan ini masalah yang tidak dihadapi Umno.

Jeniri berkata, memandangkan ramai pemimpin Bersatu Sabah berasal daripada Umno, tidak sukar bagi mereka untuk kembali. Bagaimanapun, ini perlu berlaku sebelum pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), beberapa ahli Parlimen dan ADUN Umno Sabah meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu. Ini termasuk ADUN Sulaman Hajiji Noor, yang kini ketua menteri, dan Ronald Kiandee, yang juga menteri pertanian dan industri makanan persekutuan.

“Jika mereka (pemimpin Bersatu) bertanding pada pilihan raya akan datang bawah panji Perikatan Nasional (PN), saya percaya mereka akan tumpas,” kata Jeniri.

Beliau berkata, jika pemimpin Bersatu Sabah kembali kepada Umno, ia akan membuka jalan kepada Umno untuk menyertai gabungan pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang mendapat sokongan padu masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) melalui Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku.

Penjajaran sebegitu akan menyaksikan GRS meletakkan barisan hadapan yang kukuh pada PRU15 atau pilihan raya negeri, katanya.

“Masuk akal bagi parti-parti yang ingin memenangi undi KDM untuk bergabung dengan Umno berbanding menentangnya. Parti-parti KDM bersama GRS.

“Sebenarnya, Bersatu tidak jauh berbeza dari segi ideologi dengan Umno. Bekas pemimpin Umno hanya melompat ke Bersatu kerana menyangka Umno sudah tamat.

“Bagaimanapun, seperti yang kita lihat di Melaka dan Johor, mereka kini lebih kuat berbanding ketika PRU14.”

Beliau berkata, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman boleh memainkan peranan penting dalam memulangkan pemimpin Bersatu ke pangkuan Umno.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Bersatu mengambil “risiko besar” jika menentang Umno di Sabah.

“Di Sabah, tiada nilai tambah menjadi sebahagian daripada PN. (Gabungan itu) banyak bergantung kepada akar umbi PAS yang hampir tidak wujud di Sabah. Pengaruh Umno di Sabah kuat, jadi lebih baik (ahli) Bersatu menyertai Umno.”

Bagaimanapun, beliau mengakui, perkara ini mungkin lebih mudah diucapkan berbanding dilakukan kerana tiada pemimpin yang dapat menyatukan kedua-dua parti itu pada masa ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *