Pejuang Tiada Peluang Di Sabah, Kata Penganalisis

Mukhriz Mahathir bersama Ketua Pejuang Sabah Haji Nicholas Sylvester Muhammad dan pemimpin parti lain di Kota Kinabalu minggu lepas.

KOTA KINABALU : Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad tiada peluang berjaya di Sabah jika bertanding di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang, kata dua penganalisis politik.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, parti berasaskan kaum tiada daya tarikan di Sabah kerana kebanyakan rakyatnya mempunyai keluarga dengan pelbagai latar belakang etnik dan kepercayaan agama.

“Namun jika parti sedemikian berada dalam kedudukan untuk ‘mengagihkan sumber’, maka itu mengatasi penolakan parti berasaskan kaum,” katanya kepada FMT.

Katanya, ramai rakyat Sabah masih menyalahkan Mahathir berhubung Projek IC, istilah yang digunakan bagi dakwaan pemberian kerakyatan secara sistematik kepada pendatang dengan memberi mereka kad pengenalan sekitar 1990-an.

“Mereka menyalahkan Mahathir kerana mencetuskan Projek IC, yang mereka fikir membawa masuk pendatang yang kadang-kadang mempunyai dokumen. Saya sebaliknya berpendapat, ini diamalkan bertahun-tahun sebelum Projek IC lagi.

Pada Selasa, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, parti itu berhasrat bertanding di Sabah pada PRU15, namun ia masih belum memutuskan bilangan kerusi akan ditandingi.

Cawangan negeri parti itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Mei, namun pemimpin BN Sabah Bung Moktar Radin memperkecilkan peluang Pejuang di negeri itu.

Penganalisis Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung, berkata beliau tidak melihat sebarang ruang untuk Pejuang di Sabah, menyifatkan arena politik negeri itu “sudah sesak” dengan pelbagai parti seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang diterajui bekas naib presiden Warisan Peter Anthony.

“Saya tak nampak ruang untuk Pejuang di Sabah. Kita lihat seramai 447 calon bertanding untuk 73 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020, dengan majoriti daripadanya kehilangan wang deposit,” katanya kepada FMT.

Lee berkata, kewujudan Projek IC boleh dipertikaikan, tetapi tiada siapa boleh menafikan peningkatan mendadak populasi Sabah pada 1990-an.

Katanya, sukar bagi Pejuang membuang persepsi bahawa mereka terikat dengan Mahathir, walaupun bekas perdana menteri itu tidak bertanding pada PRU15 mahupun menjauhi parti. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *