Didakwa Melakukan Persetubuhan Dengan Kucing

Tertuduh  (tengah) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan kucing, minggu lalu.

Tertuduh, Janting anak Keling, 63, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Janting didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan kucing menyebabkan kucing itu mati.

Kesalahan itu dilakukan di taman permainan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, 4.30 pagi, 16 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya berkata, tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh.

“Bagaimanapun, jika mahkamah mahu menawarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran,” katanya.

Tertuduh kemudian membuat rayuan supaya jumlah jaminan dikurangkan berikutan dia tidak bekerja.

“Saya baru datang ke Johor Bahru dari Sarawak dan tiada pekerjaan. Saya juga menumpang di rumah anak perempuan,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Mei nanti bagi penyerahan dokumen. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *