Pertemuan Bung Moktar & Musa Cetus Perbualan Di Sabah

Pemimpin BN Sabah, diketuai oleh Bung Moktar Radin (berbaju putih) bersama bekas ketua menteri Musa Aman (tengah) di kediamannya pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Pertemuan antara bekas ketua menteri Musa Aman dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin dan pasukan pemimpin Umno mencetuskan perbualan hangat di negeri terbabit.

Spekulasi mengenai orang kuat Umno Sabah itu kembali ke persada politik negeri diperbualkan dalam kalangan ahli politik dan media.

Gambar pertemuan itu yang dimuat naik di akaun Facebook Bung pada Jumaat lalu mendapat 3,000 tanda suka, lebih 300 komen dan dikongsi sebanyak 135 kali.

Selain Bung, turut kelihatan dalam gambar itu ialah Timbalan Pengerusi Umno Sabah Yakub Khan, Setiausaha Umno negeri Jafry Ariffin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Salleh Said Keruak.

Ini membawa kepada spekulasi sama ada permainan politik baharu mungkin akan berlaku di negeri itu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Bung memberitahu FMT bahawa pertemuan itu hanyalah kunjungan hormat ke atas Musa kerana mereka tidak pernah bertemu sejak pilihan raya Sabah pada September 2020.

“Ia hanya kunjungan biasa, bukan luar biasa. Beliau adalah bekas pemimpin negeri jadi tidak elok jika kita tidak pergi bertemunya,” katanya.

Seorang kenalan di kem Musa juga berkata, ia hanya kunjungan hormat biasa dan “mereka mahu bertemu Tan Sri (Musa) kerana sudah lama tidak berjumpa. Jadi dia bertemu dengan mereka. Tidak perlu membuat spekulasi atau terlalu teruja”.

Musa adalah ketua menteri Sabah paling lama apabila menjawat jawatan itu selama 15 tahun dari 2003 hingga 2018. Beliau juga adalah ADUN Sungai Sibuga selama enam penggal berturut-turut.

Dua tahun selepas kehilangan kuasa, beberapa ADUN beralih taat setia kepada kem Musa menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Warisan tumbang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Pilihan raya mengejut diadakan pada September tahun itu, tetapi apa yang mengejutkan ramai pemerhati, Musa tidak diletakkan sebagai calon selepas membayangkan akan bersaing bagi merebut kerusi DUN Sungai Manila. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *