
KOTA KINABALU: Peguam dari Sabah mengkritik cadangan seorang pemimpin PAS berhubung pindaan perlembagaan agar jawatan perdana menteri dikhususkan kepada orang Islam.
Yong Yit Jee berkata, cadangan senator Khairil Nizam Khirudin, yang juga ketua penerangan PAS itu adalah “tidak berasas dan pada dasarnya cacat”.
Beliau berkata, perlembagaan persekutuan hanya memperuntukkan perdana menteri adalah seorang Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Konsep majoriti inilah yang penting, bukan kepercayaan,” katanya kepada FMT.
Dalam catatan di Facebook minggu lalu, Khairil berkata, cadangannya dibuat bagi menegakkan dan memelihara kesucian Islam sebagai agama persekutuan.
Katanya, undang-undang tubuh negeri di Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang turut memperuntukkan menteri besar mesti beragama Islam.
Bagaimanapun, Yong berkata, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bawah perlembagaan persekutuan dan perlindungan agama itu dan pemeliharaan kesuciannya adalah bawah bidang kuasa baginda. Agong juga dinasihati oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam negeri masing-masing.
“Adakah Khairil cuba menggambarkan bahawa Agong dan majlis (hal ehwal agama Islam) masing-masing tidak cukup untuk memelihara kesucian Islam?” soalnya.
Saranan Khairil bersifat diskriminasi terhadap Ahli Parlimen bukan Islam tambahnya, dan cadangan tersebut, jika diteruskan, akan melemahkan sistem Parlimen.
Seorang lagi peguam, Roger Chin berkata, kenyataan Khairil menunjukkan sikap tidak bertoleransi dan tidak mahu menerima perbezaan.
Katanya, perlembagaan tidak mensyaratkan bangsa atau agama sebagai kelayakan untuk jawatan perdana menteri.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Sabah Adrian Lasimbang, iaitu seorang bekas senator, berkata, cadangan itu bercanggah dengan semangat pembentukan Malaysia dan kebebasan beragama, iaitu salah satu jaminan utama diberikan kepada anak jati Sabah oleh bekas perdana menteri dan pengasas Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra.
“Apa yang diperkatakan oleh senator PAS itu adalah retorik politik semata-mata dan untuk kepentingan mereka sendiri, bukan berkhidmat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost