Satu Kali Bayaran Sahaja, Pengeluaran RM10,000 KWSP Menerusi Portal Mulai 1 April

Satu Kali Bayaran Sahaja, Pengeluaran RM10,000 KWSP Menerusi Portal Mulai 1 April

KUALA LUMPUR: Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dibuat menerusi portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my, yang juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih i-Akaun, bermula 1 April ini.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah umur 55 tahun bermula 1 hingga 30 April, manakala pembayaran akan dibuat pada 20 April.

“Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli. Ahli perlu memastikan bahawa akaun bank mereka adalah aktif dan di bawah nama ahli sendiri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu akaun bersama atau akaun didaftarkan bawah nama syarikat tidak dibenarkan dan semakan status permohonan boleh dibuat bermula 9 April, melalui portal sama.

KWSP menjelaskan ahlinya yang ingin mengeluarkan simpanan digalakkan menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun (ahli), aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP dan jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50.

“Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka. Ahli juga perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun mereka,” menurut kenyataan itu.

Pada 16 Mac lalu, kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban rakyat bawah umur 55 tahun yang masih terkesan,susulan pandemik Covid-19, bermula 1 hingga 30 April ini.

“KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas tersebut boleh didapati melalui “Ask ELYA” dalam laman web KWSP, atau boleh menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di 03 8922 4848 bermula 1 April selain berjumpa pegawai khidmat nasihat ahli di cawangan KWSP seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *