PBS Sedia Rampas Parlimen Tuaran Daripada UPKO, Kata Ongkili

Maximus Ongkili (kanan) menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-37 PBS Bahagian Tamparuli di Tuaran.

TUARAN: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili berkata, parti itu bersedia merampas kerusi Parlimen Tuaran untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, pihaknya yakin mampu merampas kerusi itu daripada UPKO berdasarkan kubu kuat PBS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen tersebut.

“Kita mempunyai sokongan kuat di DUN Kiulu dan Tamparuli, selain sokongan penyokong di DUN Sulaman serta Pantai Dalit dalam Parlimen Tuaran.

“Kita menjangkakan PRU akan diadakan selewatnya tahun depan dan Tuaran adalah antara kerusi yang kita berminat untuk bertanding,” katanya ketika menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-37 PBS Bahagian Tamparuli di sini, hari ini.

Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, jentera PBS sudah bersedia ke arah itu dan akan diperkukuhkan lagi dengan pertambahan keahlian serta cawangan.

“PBS akan terus berkembang dan dua wakil rakyat kita di Kiulu dan Tamparuli memberikan khidmat yang baik kepada akar umbi.

“Penyokong tahu dengan jelas perjuangan PBS, sebab itu mereka terus menyokong parti ini,” katanya.

Ketika ini Parlimen Tuaran diwakili Presiden UPKO, Madius Tangau yang dimenanginya pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum keluar dan menyertai pakatan bersama Warisan bagi membentuk kerajaan negeri pada 2018. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *