Wanita Melecur, Rumah Musnah Terbakar

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di rumah guru SMK Weston di Beaufort, malam tadi. – Foto Ihsan Bomba

BEAUFORT: Seorang wanita cedera akibat melecur pada belakang dalam kebakaran di rumah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam menyebabkan mangsa, 59, terpaksa dihantar ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.28 malam, sebelum sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal berukuran 18.5 meter persegi yang musnah terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air kolam berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengesahkan seorang mangsa wanita cedera akibat melecur dihantar ke hospital oleh orang awam, dengan api berjaya dikawal jam 11.25 malam.

“Ppihak forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *