PAS Sabah Mahu Penjelasan Kedudukan Dalam GRS

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

KOTA KINABALU: Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata pihaknya akan bertemu Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor bagi mengetahui kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.

“Penubuhan GRS ini dipersetujui oleh semua parti komponen yang sudah dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, kita daripada pihak PAS Sabah melihat perkara ini untuk diteliti semula.

“Oleh itu, kita akan bertemu sendiri dengan pengerusi GRS dalam masa terdekat kerana hanya mengetahui parti ini tidak disebut sebagai salah satu parti komponen dalam GRS menerusi media massa.

“Secara prinsipnya, kedudukan kita masih bersama Perikatan Nasional (PN) dan tidak terpisah daripada komponen BERSATU namun dari segi struktur GRS yang baharu ini, kita tidak mendapat sebarang maklumat lebih tepat,” katanya ditemui media selepas merasmikan Program Tukar Minyak Enjin di pekarangan Surau Austral, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas susulan pengumuman GRS pada Jumaat lalu yang menyatakan terdapat empat parti yang menganggotai gabungan terbabit.

Empat parti berkenaan adalah BERSATU, Parti Bersatu Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi rakan GRS dalam kerajaan negeri.

Sementara itu, Aliakbar berkata, pihaknya tidak mahu perkara umpama itu menjadi punca pertelingkahan antara PAS Sabah dan GRS.

“Kita tidak mahu menggunakan perkataan ‘disisihkan’ untuk mengelakkan berlaku salah faham.

“Hal ini kerana kita masih dalam kalangan rakan komponen GRS sebelum gabungan berkenaan didaftarkan,” katanya.

Terdahulu, Hajiji pada Jumaat lalu turut mengumumkan pelantikan tiga Timbalan Pengerusi GRS, iaitu Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.

Hajiji turut menunjukkan kepada media lambang rasmi GRS yang berupa abjad ‘GRS’ berwarna biru tua, merah dan biru muda berlatar belakang garisan biru yang membentuk imej Gunung Kinabalu. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *