Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Mulai 28 Mac ini

KUALA LUMPUR: Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada 8.6 juta penerima akan disalurkan mulai 28 Mac ini, membabitkan peruntukan berjumlah RM2 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penerima merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas termasuk tiada pasangan dan 3.4 juta individu bujang.

Katanya, mereka akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan masing-masing.

“BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun bank mulai 28 Mac hingga 8 April, sementara penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, bantuan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 30 Mac.

“Pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari masa ke semasa,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, permohonan rayuan terhadap bantuan itu dibuka mulai 2 Mei selama sebulan bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Katanya, proses pertimbangan semula permohonan yang tidak diluluskan sebelum ini untuk beri ruang kepada mereka selepas mengemukakan dokumen yang disemak semula Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *