Parti Baharu KDM Sedia Beraksi Di PRU15, Kata Peter Anthony

Peter Anthony (dua dari kanan) menyerahkan permohonan parti KDM menyertai GRS kepada Hajiji Noor (tengah) hari ini.

KOTA KINABALU: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony berkata, parti baharu itu sedia membuat penampilan sulung dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Walaupun parti KDM baru didaftarkan, beliau berkata, akar umbinya telah wujud sejak sekian lama dan atas faktor itu partinya sedia bertanding, jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kalau PRU diadakan pada bila-bila masa, saya rasa tiada masalah, khususnya di kawasan pedalaman seperti di Tenom dan juga Papar,” katanya selepas pelancaran parti KDM oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Mengenai saranan supaya GRS tidak terburu-buru menerima KDM, Peter berkata, sebarang keputusan hanya akan dibuat Hajiji selepas berbincang dengan parti komponen GRS.

“Setiap pihak bebas menyuarakan pendapat mereka, apapun ia terpulang kepada Pengerusi GRS untuk membuat keputusan dan pastinya perbincangan akan dibuat di antara mereka.”

Terdahulu, Peter dalam ucapannya berkata, KDM tidak akan mengabai atau membelakangkan sesiapa dalam parti itu, walaupun berbeza budaya, etnik dan agama.

“Apa yang penting ialah kita bersatu dalam kepelbagaian untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, di bawah payung demokrasi yang diamalkan dengan baik oleh seluruh masyarakat negeri kita ini.

“Saya ambil maklum kita memang mempunyai ramai rakan parti dalam GRS, yang turut memperjuangkan aspirasi parti masing-masing demi rakyat Sabah.

“Kami juga dalam parti KDM ingin turut serta memperjuangkan kesejahteraan masyarakat di wilayah Sabah tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan budaya.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *