Empat Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Semporna

SEMPORNA : 4 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Perigi di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.06 pagi.

Katanya 12 pegawai dan anggota dari BBP Semporna bersama sebuah jentera pemadam api dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi yang terletak 2 kilometer dari balai.

Turut membantu memadamkan kebakaran, 5 anggota BBP Atas Air Semporna serta anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 800’ 2 pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” kata Edoen dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Hajim Abd Malak berjaya mengawal kebakaran jam 9.46 pagi.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Operasi ditamatkan jam 11.41 pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *