PRN Johor: ‘Jual Undi RM200, RM500 Tak Akan Jadikan Kita jutawan’, Shafie Ungatkan Pengundi

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, Warisan tidak akan memberi habuan untuk memilih calon mereka namun pada masa yang sama menyeru pengundi untuk memilih calon terbaik untuk negeri Johor.

JOHOR : Presiden Warisan, Shafie Apdal menggesa rakyat Johor untuk tidak menjual atau menerima tawaran beli undi dari mana-mana pihak kerana ia tidak akan mengubah kedudukan mereka.

Ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor memasuki minit-minit terakhir, Shafie berkata pengundi seharusnya memilih pemimpin yang berintegriti dan memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan ketelusan pemerintahan dapat dicapai.

“Jangan jual undi ini, (kalau) orang nak bagi RM200, RM500 (itu) tidak akan jadikan kita jutawan.

“Esok orang bagi kita RM500 kita jadi jutawan, kemiskinan terhakis, kebuluran terhapus dengan duit RM500, itu tidak boleh menjamin masa depan cucu, anak kita, masa depan negara Malaysia,” katanya ketika menyampaikan Amanat Presiden Parti Warisan yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Pada PRN Johor esok, Warisan bertanding di enam kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.

Kata Shafie lagi, Warisan tidak akan memberi habuan untuk memilih calon mereka namun pada masa yang sama menyeru pengundi untuk memilih calon terbaik untuk negeri Johor.

“Saya merayu tapi saya tak paksa, tiada paksaan kerana kita beramal, tiada harus paksaan pada umat… Tak harus seorang wakil rakyat paksa dengan habuan duit untuk mengundi. Kita beramal nak cari keredhaan.

“Saya merayu undilah calon-calon yang bermaruah, calon-calon bermartabat, ada integriti, calon-calon YB (Yang Berhormat) ada semak imbang,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *