Kematian COVID-19 Sabah Bawah 10 Kes Sehari

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin.

KOTA KINABALU: Kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 di Sabah menurun kepada kurang 10 kes sehari selepas kadar vaksinasi lengkap penduduk mencapai tahap 75 peratus, bermula Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata analisis yang dijalankan pihaknya mendapati berlaku penurunan kematian yang ketara jika dibandingkan kes pada Ogos dan September tahun lalu.

“Pada Ogos dan September lalu, kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 di Sabah sebanyak 40 kes hingga 50 kes sehari.

“Analisis terkini yang selesai semalam menunjukkan selepas mencapai 75 peratus vaksinasi pada Disember lalu, kes kematian kurang daripada 10 sehari.

“Ini semua adalah fakta. Walaupun banyak cerita tidak benar mengenai vaksin, kita minta masyarakat siasat dulu cerita itu dan lihat fakta yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian bilik laktasi atau penyusuan susu ibu di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, di sini, hari ini.

Kemudahan itu adalah yang pertama diwujudkan di pejabat kerajaan negeri di Sabah bagi keselesaan kakitangan wanita yang memberi susu badan kepada bayi mereka.

Mengulas lanjut, Dr Rose Nani berkata, kesedaran masyarakat mengenai kepentingan vaksin COVID-19 amat penting, dengan tumpuan ketika ini adalah untuk suntikan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak.

Beliau berkata, sambutan terhadap kedua-dua pelalian itu yang masih rendah di Sabah dan perlu ditangani segera bagi memastikan masyarakat mendapat perlindungan terbaik terhadap jangkitan COVID-19.

“Langkah pencegahan dengan mendapatkan vaksin termasuk suntikan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak ini sangat perlu. Apa yang penting kita mesti lindungi diri kita dengan vaksin.

“Jangkitan sudah ada dalam komuniti, sama ada sempadan dibuka atau tidak, yang menentukan penularan COVID-19 teruk atau tidak ialah pelalian, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan mengelak bersentuhan kerana itu yang menyebarkan jangkitan,” katanya.

Sementara itu, katanya, semua kes kematian akibat jangkitan COVID-19 yang direkodkan di Sabah ketika ini membabitkan pesakit yang tidak mengambil dos penggalak, manakala 50 peratus yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan meninggal dunia terdiri daripada mereka yang tidak mengambil suntikan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *