Warisan Yakin Menang Walau Bergerak Solo Di Johor

JOHOR BAHRU: Parti Warisan (Warisan) tidak gentar untuk bergerak solo dengan sasaran enam kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau percaya sudah tiba masanya untuk mengubah landskap politik di negara ini dengan meletakkan kepercayaan kepada rakyat untuk memilih wakil mereka.

Beliau berkata, kehadiran Warisan di Johor bagi memberi pilihan kepada rakyat Johor kerana mereka sudah muak dengan pemimpin sedia ada yang terlalu banyak berpolitik.

“Maka, kita serahkan kepada rakyat kerana orang yang menentukan siapa kerajaan adalah rakyat dan bukannya parti atau mana-mana ahli politik. Hanya rakyat yang boleh mengubak landskap politik di negara ini.

“Kita mahu ubah semangat kekitaan pelbagai bangsa di negara ini agar ikatan persaudaraan masyarakat berbilang kaum dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, Warisan bertanding enam kerusi yang diwakili golongan profesional dan pemimpin berpengalaman dalam arena politik Johor.

Jentera-jentera Warisan sudah berada di lapangan di peringkat kampung dan juga Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi membantu calon-calon Warisan memenangi PRN Johor.

Biarpun Warisan hanya bertanding enam kerusi itu sudah memadai kerana fokus sebenar mereka bukan PRN sebaliknya, Warisan mahu memberi fokus kepada persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, dengan enam kerusi yang ditandingi sudah pasti, Warisan mahu memastikan kesemua enam calon itu menang.

“Kita bertanding untuk memastikan ahli-ahli kita menang. Ini bukan cabaran mudah kerana kita tahu dalam dunia politik bukan satu perjalanan yang mudah.

“Namun, kita yakin jika kita pertingkatkan usaha kita akan berjaya. Kejayaan tanpa usaha tidak akan ke mana kerana kejayaan tidak datang bergolek tanpa berusaha.

“Maka, kita bergantung kepada rakyat untuk membolehkan kita membawa suara rakyat mendapat pembelaan,” ujarnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *