Kami Akan Daftar GRS – Hajiji

Ketua Menteri Hajiji Noor (tengah) menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran dalam lawatannya ke daerah Kudat, hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata gabungan tidak rasmi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk didaftarkan sebagai badan politik rasmi.

Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata perkara itu perlu dilaksanakan bagi memperkukuh kerjasama dalam kalangan parti gabungan sedia ada.

“GRS akan didaftarkan kerana ia adalah hasrat anggota parti dalam gabungan. Kita mesti mempunyai perjanjian rasmi untuk bergerak dengan lebih cekap,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tempoh masa bagi pendaftaran itu dilengkapkan.

GRS terbentuk menerusi penyertaan Perikatan Nasional (PN) Sabah (Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (Umno, PBRS, MIC dan MCA) dan PBS.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, GRS terbuka terhadap idea penyertaan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), diketuai bekas Naib Presiden Warisan Peter Anthony, masuk dalam gabungan berkenaan.

“Kami mengalu-alukan hasrat parti terbabit menyertai atau menyokong GRS. Sasaran kita adalah mencapai kestabilan politik di Sabah, justeru tumpuan kita lebih terarah membangunkan negeri ini.

“Namun, kita perlu mendapatkan konsensus daripada parti lain dalam gabungan sebelum kami mengambil apa-apa keputusan berhubung penyertaan KDM,” katanya.

Sebelum ini, timbul pandangan bercampur daripada pimpinan GRS berkenaan penyertaan parti itu dalam gabungan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden STAR Jeffrey Kitingan, berkata beliau tidak mempunyai masalah tentang kemasukan KDM, sambil menyatakan ia akan memperkukuhkan lagi kedudukan GRS, manakala Setiausaha Agung PBS Joniston Bangkuai, mahu gabungan itu tidak tergesa-gesa menerima kemasukan parti baharu.

Anthony dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Juil Nuatim, keluar Warisan pada 27 Dis, dengan mendakwa bekas parti mereka,”sudah hilang hala tuju”.

Dalam kenyataan berasingan, hari ini, Setiausaha PAS Sabah yang juga ADUN dilantik, Aliakbar Gulasan, berkata parti berhasrat menyertai GRS perlu bersih daripada rasuah.

Katanya, GRS mesti menguatkuasakan syarat ketat, sekali gus memastikan semua parti termasuk pimpinan berada pada tahap integriti tertinggi, selain tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana perbuatan rasuah mahupun penyelewengan kuasa.

“Rakyat terutamanya generasi muda, sudah penat dengan budaya politik terdahulu.

“Saya mencadangkan pimpinan parti politik yang mahu menyertai GRS wajib disaring terlebih dulu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Walaupun Aliakbar tidak menamakan pihak dimaksudkan, dipercayai ia merujuk kepada Anthony yang berdepan dakwaan memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk kerja kontrak sistem penyelenggaraan.

Dalam pada itu, seorang lagi Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin, juga berdepan dakwaan di mahkamah membabitkan tuduhan rasuah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *