Adelinah, Wanita Sabah Pertama Bakal Tawan Gunung Everest

KOTA KINABALU: Adelinah Litanga bagi melakar sejarah untuk menjadi wanita pertama daripada Sabah menawan puncak Gunung Everest.

Wanita berusia 37 tahun itu bakal memenuhi impiannya yang disimpan sejak lima tahun lalu untuk menawan puncak Gunung Everest.

Adelinah atau lebih mesra dengan panggilan Narna, 37, berkata, sejak menjejakkan kaki di Nepal pada 2017 ketika mengikuti acara Royal Penguin Ultra Marathon sejauh 60 kilometer, beliau mula menyimpan impian untuk kembali semula untuk mendaki sehingga puncak Everest.

Impian itu bakal terlaksana menerusi penglibatannya dalam Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022 yang akan diadakan pada Mei ini.

Beliau berkata, tidak disangka permohonannya untuk menyertai Ekspedisi Everest kali ini diterima dan beliau akan menjadi satu-satunya wakil Sabah yang akan menyertai program tersebut.

“Saya hantar resume pada Januari lalu dan rezeki berpihak kepada saya kerana terpilih untuk mewakili Sabah dalam Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022 ini,” katanya ketika ditemui semasa sidang media hari ini.

Adelinah yang merupakan ibu kepada seorang anak itu berkata, beliau akan memberikan sejuta peratus komitmen bagi menjalani latihan teknikal untuk membolehkannya sampai ke puncak Everest.

Menurutnya, persediaan fizikal sudah mencukupi kerana beliau kekal dengan rutin latihannya berlari marathon.

“Saya mula bergiat secara serius sebagai pelari marathon pada 2015 tapi, saya suka berlari sejak dibangku sekolah lagi. Cuma berlari secara serius mula pada 2015,” ujarnya.

Wanita berasal dari Kota Belud itu berkata, beliau agak bimbang dengan faktor cuaca yang sejuk dan ketinggian semasa melakukan ekspedisi itu nanti. Namun, itu bukan penghalang baginya untuk sampai ke puncak bagi mengibarkan bendera Sabah.

Adelinah mendapat tempat kedua semasa menyertai Malaysia Mountain Trail Festival sejauh 84 kilometer pada tahun lalu.

Tambahnya, beliau akan menjalani latihan pendakian di Gunung Kinabalu serta dua gunung di Nepal sebelum meneruskan ekspedisi pendakian di Gunung Everest.

Sementara itu, pendaki negara, Ravichandran a/l Tharumalingam berkata, menerusi program ini, mereka akan bergerak dalam kumpulan yang disertai lima pendaki termasuk dua pendaki wanita daripada Sabah dan Sarawak serta lima shelpa atau malim gunung.

“Kita sudah mengkaji risiko yang akan dihadapi dan akan cuba mengurangkan risiko tersebut namun, ia bergantung kepada keadaan cuaca. Pendakian ini akan mengambil masa perjalanan selama 60 hari.

“Memandangkan kos bagi setiap seorang pendaki USD 40,000 (RM168,000) maka, kami akan cuba mengumpul dana dan berharap mendapat sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam Kabinet Negeri untuk melihat bantuan yang boleh diberikan bagi menyokong penganjuran program tersebut.

Jeffrey berkata, beliau akan cuba membantu sebanyak mana yang boleh untuk menyokong pelaksanaan Program Keluarga Malaysia itu. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *