PAGOH: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor, akan memberi isyarat jelas parti itu mempunyai peluang yang cerah untuk menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak turut menyifatkan PRN Johor sebagai “turning point” atau titik perubahan dalam senario dan landskap politik tanah air.
“Jadi kalau negeri Johor ini kembali ke pangkuan Umno sebagai sebuah negeri yang ditunjangi oleh Umno dan mendapat sokongan yang padu di kalangan rakyat melalui majoriti yang menyakinkan, maknanya kemenangan besar kepada BN.
“Ia memberi isyarat yang jelas bahawa kemungkinan besar dari sudut perspektif negara, BN mempunyai peluang dan harapan yang besar dan cerah untuk memenangi PRU yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis memperkenalkan calon BN bagi DUN Bukit Kepong dan Bukit Pasir di Seri Pekembar hari ini.
Najib berkata, hal itu disebabkan oleh saiz negeri Johor dengan 26 Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kebanyakan kerusi adalah kerusi campuran.
Katanya lagi, ia bererti bahawa cerminan pada sokongan bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi sokongan rakyat berbilang kaum.
Diminta mengulas tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad yang kerap melakukan serangan ke atasnya, Najib berkata, apa yang dimainkan dua bekas pemimpin Umno itu tidak dilayan rakyat.
“Tak apalah, mereka nak serang itu pilihan mereka tapi, di Melaka, dia serang saya tapi pada pengundi mereka tidak ambil kira ini semua, mereka nak tahu siapa yang boleh menentukan masa depan mereka yang lebih baik, menjamin aspirasi mereka tercapai dan mereka ingin melihat pemulihan ekonomi,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost