Dia Tiada Modal, Masalah Peribadi Sendiri Pun Banyak, Khalid Bidas Bung

Khalid Samad berkata Bung Moktar Radin tidak layak untuk mengheret kisah peribadinya di Dewan Rakyat, memandangkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu sendiri berdepan ‘pelbagai masalah peribadi’.

KLANG: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata Bung Moktar Radin tidak layak mengheret kisah peribadinya di Dewan Rakyat, memandangkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu sendiri berdepan “pelbagai masalah peribadi”.

“Dia tiada modal, masalah peribadi dia sendiri pun banyak…tapi kita langsung tak sebut.

“Dia nak tembak saja sedangkan orang tahu isu peribadi dia jauh lagi banyak tapi kita tak sentuh,” katanya ketika ditemui pada majlis peluncuran Jelajah Dahsyat di sini.

Dalam sesi perbahasan usul bencana banjir di Dewan Rakyat semalam, Khalid menafikan beliau hilang dari radar seperti didakwa pihak kerajaan dengan menjelaskan beliau berada di Shah Alam membantu urusan kemalangan membabitkan sembilan beranak ketika hujan lebat luar biasa melanda Selangor, bulan lalu.

“Saya nak uruskan jenazah, penempatan keluarga datang dari Melaka, nak ziarah dan sebagainya, nak balik tak boleh sebab terperangkap dalam banjir, hotel semua penuh,” katanya.

Namun, Bung bangun mencelah dengan menyindir Khalid: “Bagilah banglo ke, penthouse ke…kan bagus.”

Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam kelmarin membenarkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berpoligami selepas bersetuju menunaikan hak-hak isterinya, Zaiton Abu Bakar.

Khalid bersetuju memberikan sebuah banglo diduduki mereka sekarang bersama sebuah “penthouse” yang kedua-duanya terletak di Shah Alam, ditukar nama kepada Zaiton.

Mengulas mengenai penyelesaian harta sepencarian itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, ia bagi mengelakkan sebarang tuntutan oleh oleh pihak ketiga iaitu bakal isteri kedua.

“Kita dah kumpul harta bersama. Jadi harta sepencarian ini kita kenal pasti dan asingkan supaya datang pihak baru nanti dia tak tuntut harta milik (pihak) sebelumnya.

“Katakan saya meninggal…tiba-tiba rumah kami, isteri kedua pun tuntut juga sebagai sebahagian hartanya,” katanya.

Khalid sudah berkahwin dengan Zaiton selama 45 tahun.

Ketika ditanya identiti bakal isterinya, Khalid hanya menjawab, “Orang biasa saja, ‘very low profile’”. Khalid turut mendedahkan beliau diberi tempoh sebulan untuk berkahwin selepas kebenaran daripada mahkamah, semalam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *