Guru Tadika Maut Terjun Bangunan Di Lintas Plaza

KOTA KINABALU: Seorang wanita dipercayai guru sebuah sekolah tadika di daerah Penampang, maut selepas terjun dari sebuah bangunan di Lintas Plaza, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa masuk ke bangunan berkenaan pada jam 7.10 dan meletakkan kenderaannya di tingkat empat.

Katanya, mangsa kemudiannya dipercayai terjun dan disedari orang awam yang kemudiannya bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

“Polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 8.05 pagi dan sepasukan polis terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal, pasukan forensik polis hanya menemui beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa dipercayai kesan impak terjatuh dari tempat tinggi.

Katanya, polis juga tidak menemui sebarang senjata di lokasi yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa di tempat kejadian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani ujian Covid-19 sebelum proses bedah siasat.

Dalam kejadian pagi tadi, beberapa pemandu kenderaan yang melalui jalan berkenaan terkejut selepas melihat seorang wanita tiba-tiba jatuh dan terbaring di atas jalan.

Beberapa saksi kejadian turut mendakwa sempat melihat wanita terbabit meraung kesakitan sebelum terus tidak sedarkan diri.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *